Friday, 28 March 2014

Komen Terhadap Isu Semasa Hak Asasi manusia


ISU PENDERAAN KANAK-KANAK

Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, berkesefahaman dan penyayang. Suasana ini akan membentuk mereka manjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan.

Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk disediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya. Mereka juga perlu diberi perhatian kerana tahap pemikiran mereka masih ditahap untuk mempelajari dan belum dapat berfikir secara rasional dalam sesuatu perkara yang rumit. Oleh itu, mereka berhak ke atas hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.



Peranan kerajaan yang amat penting dalam hal ini kerana kerajaan yang boleh memberi ruang dan mandat untuk menjadikan kanak – kanak ini diberi perlindungan yang sewajarnya. Semua lapisan masyarakat di Malaysia haruslah sedar dan peka kepada kehadiran dan kepentingan kanak – kanak ini dalam pembangunan masyarakat kita. Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Mereka sering beranggapan bahawa kanak – kanak ini hanyalah budak kecil yang tidak memberi apa – apa kepentingan kepada mereka. Mereka hanya melihat kanak – kanak ini sebagai budak suruhan, hamba dan dibuli sesuka hati.

Masyarakat harus sedar bahawa kanak – kanak inilah yang akan meneruskan perjuangan dan kepimpinan negara suatu hari nanti. Kes seperti penderaan terhadap kanak-kanak, pembuangan bayi, kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak serta perdagangan kanak-kanak sebagai buruh kasar ini harus kita fikirkan dan beri perhatian yang kuat agar masalah ini dapat kita rungkaikan bersama dan mencari penyelesaiannya.

Hak kanak-kanak  adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children). Bahagian I Konvensyen ini mengandungi hak – hak yang perlu diberi kepada seseorang kanak – kanak, Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan negara-negara pihak dan juga masyarakat.



Dalam konvensyen ini juga telah menggariskan empat elemen hak yang perlu diambil perhatian oleh semua lapisan masyarakat Malaysia iaitu Kehidupan, Perlindungan, Penyertaan dan Perkembangan.  Namun bagi memfokuskan kepada isu penderaan kanak-kanak ini, elemen yang akan dilihat ialah dari segi Perlindungan. Hak Perlindungan ialah hak perlindungan kanak-kanak daripada pengaruh-pengaruh tidak baik seperti penderaan, eksploitasi dan sebagainya.

Kita sering mendengar dan terbaca berita tentang kanak – kanak didera, dibuli, dicabul, diseludup, dijadikan buruh kasar dan sebagainya  dalam media. Masalah ini jika berlarutan boleh menjadi satu virus dan bencana dalam pembangunan dan kemajuan negara. Kanak – kanak adalah satu komuniti yang harus diberi perlindungan yang maksimum dan diberi hak untuk menikmati zaman kanak – kanaknya.

Dalam elemen Hak Perlindungan kanak-kanak, kanak-kanak berhak kepada perlindungan daripada sebarang keadaan yang berbahaya seperti penderaan, pencabulan dan eksploitasi. Kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada sesuatu masalah. Mereka perlu dilindungi daripada dicederakan dari segi emosi ataupun dari segi seksual. Mereka tidak seharusnya diabaikan dan dianiaya oleh sesiapa pun. Mereka juga tidak sepatutnya didiskriminasi hanya kerana perbezaan yang terdapat pada mereka. Jika terdapatnya salah laku terhadap kanak-kanak ini, pihak-pihak berwajib harus campur tangan dan melindungi mereka melalui undang-undang yang telah diperuntukkan.

Tindakan undang – undang yang ketat dan telus haruslah diambil oleh pihak berwajib untuk menyedarkan mereka yang sengaja mengeksploitasikan hak kanak – kanak. Golongan intelektual haruslah menyedarkan semua dan membuka mentaliti mereka bahawa hak kanak – kanak haruslah dipelihara dan diambil serius untuk mewujudkan kanak – kanak Malaysia yang bijak, berketrampilan dan menjadi peneraju negara pada masa hadapan.

Sebagai penutup bagi perbincangan terhadap isu penderaan kanak-kanak ini, hak kanak-kanak amat penting dan perlu dipandang serius supaya isu penderaan terhadap kanak-kanak ini tidak berlaku. Tindakan undang-undang juga perlu dikenakan secara serius  terhadap sesiapa yang melanggar hak kanak-kanak yang telah ditetapkan.  Hal ini demikian kerana, kanak-kanak juga mempunyai hak untuk hidup dan dilayan secara berperikemanusiaan seperti yang terkandung dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia Perkara 5 iaitu  tiada sesiapa pun boleh dikenakan seksaan atau layanan atau hukuman yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menghinakan.



No comments:

Post a Comment